Wednesday, 22 August 2012

PANDUAN PENTERNAKAN AYAM PEDAGING
   PANDUAN PENTERNAKAN AYAM PEDAGING, IBU PEJABAT PERKHIDMATAN VETERINAR, PUTRAJAYA      



1. PENGENALAN.
Pengeluaran daging ayam negara telah mencapai tahap saradiri sejak tahun 1981. Pada tahun 2006, aktiviti pengeluaran ayam daging tempatan menyumbangkan lebih kurang 70% daripada keseluruhan bekalan daging negara. Walaupun memberi pulangan yang cepat, pemeliharaan ayam daging bukanlah satu pekerjaan yang mudah diusahakan.
Pemeliharaan ayam daging terdedah kepada banyak faktor yang boleh mempengaruhi untung-rugi dan daya maju seseorang pengusaha. Antaranya adalah ketidakstabilan harga pasaran, harga imput seperti makanan dan bahan binaan, cuaca yang berubah-ubah dan penyakit. Ayam juga memerlukan persekitaran yang selesa untuk pertumbuhan yang cekap. Pemeliharaan ayam memerlukan perancangan yang teliti bermula dari peringkat penubuhan ladang,pengurusan sehinggalah ke pasaran.
Kos pengeluaran ayam pedaging telah meningkat sebanyak RM2.06 sekilogram iaitu dari RM1.61 pada tahun 1998 ke RM3.67 sekilogram pada tahun 2006.Pada bulan Oktober 2004 harga siling ayam pedaging di ladang telah ditetapkan pada harga RM4.00 sekilogram.

2. BAKA ANAK AYAM PEDAGING.
Perolehan baka ayam pedaging yang baik amatlah penting. Pemilihan baka yang berpotensi dan sesuai perlu diberi pertimbangan utama untuk jaminan hasil yang bermutu dan keuntungan. Pengurusan di peringkat anak penting dan agak rumit di dalam pengurusan ayam. Sesuatu perusahaan ayam tidak akan berjaya sekiranya anak ayam tidak diurus dengan sempurna. Penjagaan yang rapi diperlukan untuk mendapat faedah sepenuhnya dari potensi genetik sesuatu baka yang dipelihara.
Sumber anak ayam.
Malaysia mengeluarkan 60 – 70 % anak ayam pedaging ke pasaran tempatan dan selebihnya diimport dari Negara yang bebas dari penyakit tertentu dan diiktiraf oleh kerajaan Malaysia. Kini terdapat 29 buah syarikat Integrator dan bukan integrator ayam pedaging baka yang mengeluarkan anak ayam pedaging antara 1.35 ke 110 juta setahun pada tahun 2006.


2.2 Baka.
Kesemua ayam yang wujud pada masa ini berasal daripada ayam hutan iaitu Gallus gallus atau Gallus bankiva. Terdapat pelbagai jenis baka dan strain ayam yang telah diubahsuai untuk mendapatkan hasil yang maksimum.



2.3 Mutu Anak Ayam.
Anak ayam dibeli dari baka yang bermutu, diiktiraf dan bersesuaian dengan pasaran.
Ciri-ciri Anak Ayam Yang Bermutu:
  •  Mempunyai berat sekurangnya 35 gram dan saiz yang seragam.
  • Mempunyai mata yang bulat dan bersinar.
  • Kelihatan sihat dan cergas.
  • Bulu badan berada dalam keadaan kering dan kembang.
  • Pusat yang kering.
  • Dubor bersih(tidak dilekati dengan najis).
  • Tiada kecacatan.
Faedah anak ayam yang bermutu baik:
  • Mempunyai ketahanan penyakit yang baik.
  • Penukaran makanan yang baik.
  • Tumbesaran yang baik dan boleh dipasarkan dengan cepat.
  • Kos pengeluaran yang rendah.
  • Kadar keseragaman yang tinggi.
  • Bentuk badan mengikut kehendak pasaran.

3. LOKASI LADANG.
Untuk membuka sesebuah ladang ayam daging, pengusaha hendaklah memilih lokasi yang sesuai. Pemilihan lokasi yang kurang sesuai boleh menjejaskan kecekapan operasi dan dayamaju perladangan.
Ciri ciri lokasi ladang yang baik:
  • 0.20 kilometer dari kawasan perbandaran, perumahan, pelancongan,perindustrian, penempatan dan kemudahan awam.
  • Jauh dari sumber takungan air bersih untuk kegunaan awam.
  • Mempunyai prasarana yang baik untuk tujuan pengangkutan barangan ‘input’ dan ‘output’ ladang.Mempunyai kemudahan komunikasi segera.
    Jauh dari tasik, kolam dan sungai yang selalu disinggahi burung hijrah.
    Sistem saliran air yang baik tanpa masaalah air bertakung atau banjir.
    Ventilasi yang baik tidak kurang dari 0.5 kilometer dari ladang unggas lain.
    Dataran tanah yang membolehkan paksi panjang reban menghala ke arah timur / barat dan tepinya menghala utara /selatan. untuk mengurangkan pancaran matahari ke dalam reban.
  • Masterplan lokasi untuk perkembangan projek akan datang.
 
4. SISTEM PEMELIHARAAN.
Ayam pedaging dipelihara secara intensif di dalam reban sepanjang masa.
  • Lantai tinggi / bawah daripada kayu / simen.
  • Keluasan lantai dari 0.80 ke 1.00 kaki persegi seekor.
Sistem Lantai
Sistem Lantai Sarap


Lantai reban diperbuat dari simen dan ditutupi dengan sarap kayu / jerami padi.Jenis sarap yang digunakan bergantung samada ianya mudah diperolehi, sesuai untuk menyerap air dan murah harganya. Jenis-jenis sarap yang biasa digunakan ialah ketaman kayu, jerami dan sekam padi. Sarap diisikan setebal 8 – 10sm dari lantai.
Sistem Lantai Tinggi

Lantai reban dinaikkan lebihkurang 1.8 meter dari paras tanah. Lantai biasanya diperbuat dari kayu berketam berukuran 2.54sm x 2.54sm dan diatur jarak 2.54sm antara dua kayu. Lantai boleh juga diperbuat dari BRC keras (sejenis dawai) berukuran 2.54sm x 2.54sm.

5. KEPERLUAN PENTERNAKAN.
 5.1 PERUMAHAN.

Ayam pedaging memerlukan persekitaran pemeliharaan yang selesa untuk pertumbuhan yang baik. Perumahan yang disediakan hendaklah lengkap dengan persekitaran dalaman dan luaran yang memberikan keselesaan kepada ayam dengan kadar kos binaan yang paling ekonomik.
5.1.1 Jenis Reban.

Reban Terbuka
  • Dinding reban terbuka, dibuat dari dawai punai atau jaring.
  • Setingkat atau dua tingkat.
Reban Tertutup
  • Reban ditutup keseluruhannya sepanjang masa.“curtain” dibuka apabila perlu.
  • Persekitaran (suhu, kelembapan dan peredaran udara) di dalam reban dikawal.
  • Udara masuk dan keluar dikawal menggunakan kipas.
  • Dua kaedah kawalan persekitaran “evaporative cooling system” dan “tunnel ventilation” boleh digunakan.
  • Setingkat atau dua tingkat.

5.1.2 Kedudukan binaan reban.
   Reban di bina dengan kedudukan paksi panjang mengikut arah timur-barat. Binaan sedemikian akan dapat mengelakkan pancaran terus cahaya matahari ke dalam reban. Jarak di antara reban tidak kurang dari 15 meter untuk mengawal perebakan penyakit dari
satu reban ke reban lain. Pastikan tidak ada pokok-pokok besar atau bangunan berdekatan dengan reban yang boleh menghalang peredaran udara yang sempurna .

5.1.3 Rekabentuk reban.

Ciri utama dalam menentukan rekabentuk reban ayam
·         Tahan lama dan kos yang ekonomik.
·         Mudah diselenggara.
·         Kos penyelenggaraan yang ekonomik.
·         Pengawalan haiwan pemangsa yang berkesan.
·         Ventilasi dalam reban yang optimum dan selesa.
5.1.4 Ukuran Reban
Lebar Reban
·         5.5 m - 12.2 m bergantung kepada saiz reban yang hendak dibina
·         Lebar yang kurang dari 5.5 m akan menyebabkan reban kelihatan runcing dan tidak sesuai bagi reban yang panjang.
Panjang Reban
·         Bergantung kepada jumlah ayam yang hendak dipelihara.
·         Keluasan lantai di antara 7 - 10 ekor untuk tiap-tiap 1 meter persegi.
·         Lebih kurang 0.8 kaki persegi/ekor untuk reban tertutup dan 1.1 - 1.2 kaki persegi / ekor untuk reban terbuka.
Contoh :
Untuk memelihara 1,000 ekor ayam daging dengan menggunakan 10 ekor/meter persegi.
 
Jumlah luas lantai yang diperlukan = 1,000 / 10
= 100 meter persegi
Lebar reban yang dipilih = 7 meter
Oleh itu panjang reban = 100 / 7
= 14.3 meter
Ukuran reban yang diperlukan adalah 7 meter x 14.3 meter
5.1.5 Rekabentuk dan bahan Bumbung / atap.
  • Rekabentuk bumbung reban berperanan penting dalam memastikan peredaran udara di antara reban dan persekitaran yang sempurna.
  • Menggunakan bahan yang dapat mengurangkan bahang panas, tahan lama dengan kos yang berpatutan.
  • Jenis aluminium amat sesuai kerana daya pembalikan haba yang tinggi dan sesuai dengan iklim negara ini.
5.2 PERALATAN MAKANAN DAN MINUMAN
Menggunakan peralatan komersial automatic atau manual adalah lebih sesuai dan ekonomik. Peralatan plastic / logam lebih baik dari kayu kerana mudah dicuci (sucihama) dan tahan lama. Peralatan makanan dan minuman sentiasa diperiksa untuk mempastikan berfungsi baik dan pada susunan jarak yang sesuai.
5.3 MAKANAN DAN MINUMAN.
·         Makanan ayam perlu sesuai dengan peringkat pertumbuhan untuk pembesaran yang baik.
·         Tempoh dan jenis makanan diberi akan mempengaruhi kecekapan kos pengeluaran.
·         Makanan permulaan(crumble) = 1 - 28 hari
·         Makanan penghabisan(pellet) = 29 hari hingga dipasarkan
·         Bekalan air minum bersih perlu sentiasa ada. Kadar kematian yang tinggi boleh berlaku kerana kekurangan air.
·         Pengambilan air bergantung kepada keadaan suhu alam keliling, kelembapan kandungan makanan,pengambilan makanan dan pergerakan.
·         Ayam akan minum 2 kali ganda dalam keadaan suhu yang panas daripada keadaan suhu biasa. Lazimnya ayam akan minum 2 kali ganda jumlah berat makanan yang dimakan.
5.4 KESIHATAN.
Ayam yang sihat serta bermutu mempunyai ketahanan melawan penyakit yang baik. Adalah penting penternak memeriksa kesihatan ayam setiap hari supaya tindakan awal mengawal pencemaran dapat diambil. Program kesihatan ternakan adalah melalui biosekuriti, pelalian dan rawatan.Bagaimanapun kadangkala kumpulan ayam masih diserang penyakit dan perlu dirawat. Sekiranya berlaku demikian, penternak dinasihatkan berhubung dengan Jabatan Perkhidmatan Haiwan atau pengamal veterinar swasta untuk mendapatkan ketentuan jenis penyakit dan perubatan yang diperlukan.
5.4.1 Pelalian Penyakit.
Di peringkat awal anak - anak ayam mungkin di lindungi oleh antibodi dari ibu (maternal antibody). Apabila ayam meningkat umur perlindungan dari antibodi maternal menurun. Ayam perlu diberi pelalian untuk mencegah penyakit yang merbahaya dan berisiko tinggi.
Jenis Pelalian
Program pelalian sebenar bagi sesebuah ladang perlu diatur dan disesuaikan dengan corak pengurusan ladang, keadaan penyakit dan kawasan ladang.
Contoh: Program pelalian sebagai panduan.
5.4.2 Rawatan penyakit.
Hanya ubat yang diluluskan oleh pihak berkuasa sahaja dan penggunaan ubat untuk rawatan atau kawalan penyakit pada tahap paling minimum disyorkan.
5.4.3 Biosekuriti.
Perlaksanaan biosekuriti ladang yang baik dan mengamalkan amalan perladangan yang baik dapat membantu mengurangkan risiko kemasukan dan perebakan penyakit ke dalam ladang.
Di antara langkah biosekuriti yang perlu diamalkan adalah:
·         Memagar sekeliling kawasan pengeluaran ladang menggunakan “chain-link” setinggi 6-10 kaki.
·         Menyediakan peralatan pembasmikuman bertutup untuk mencelup tayar kenderaan.
·         Menyediakan peralatan pembasmikuman bertutup untuk mencelup kaki pekerja dan pelawat.
·         Penggunaan ubat-ubatan, vaksin dan pembasmikuman berjadual.
·         Hanya satu laluan keluar masuk di ladang.
·         Perolehan anak ayam dari ladang baka yang diikhtiraf SALT.
·         Mengamalkan prosedur amalan perladangan yang baik.

 
6. PENGURUSAN PENTERNAKAN AYAM PEDAGING.
Penternakan ayam pedaging perlu diurus dengan rapi untuk prestasi pertumbuhan dan pengeluaran yang maksimum.
6.1 PERINGKAT PERINDUKAN.
Pengurusan anak ayam semasa perindukan amatlah penting dan merupakan suatu peringkat pemeliharaan yang rumit didalam pengurusan ayam.Kejayaannya bergantung kepada perumahan yang baik, suhu dan peredaran udara yang dijaga sempurna. Sebaik-baik reban perindukan adalah yang bertutup tetapi membolehkan peredaran udara yang sempurna, dapat mengelakkan kesejukan dan kehilangan hawa panas dari reban ke alam sekitar. Dinding reban perlu ditutup samada dengan kertas atau plastik di sekelilingnya.
6.1.1 Menyelenggara Alat Perindukan.
Pembersihan alat perindukan hendaklah dijalankan selepas sahaja tamat perindukan. Sebarang kerosakan perlulah dibaiki. Peralatan perindukan disucihama dan disimpan dalam stor dengan baik untuk kegunaan kumpulan berikutnya.
6.1.2 Menyediakan Ruang Perindukan.
·         Kepungan perindukan dibuat untuk mempastikan anak-anak ayam berada dekat dengan sumber haba untuk beberapa hari.
·         Kepungan dibuat dari kadboard, papan lapis atau kawat jaring halus 1 sm setinggi lebih kurang 45sm dengan ukuran rentas lebihkurang 214sm.
·         Alaskan lantai dengan sarap dari ketaman kayu / papan, jerami padi setebal 8sm - 10sm .
·         Sediakan satu bekas berisi larutan disinfektan untuk pembasmian kuman kasut sebelum masuk ke reban.
6.1.3 Kelengkapan Perindukan.
Alat Pemanas (Induk Hover )
Alat pemanas haba seperti pemanas gas, elektrik atau pemanas lampu dipasang sebagai unsur haba. Alat pemanas gas berkuasa 30,000 BTU boleh digunakan untuk 500 ekor anak ayam. Pastikan bilangan anak ayam yang sesuai untuk sesuatu jenis alat pemanas yang digunakan.
Bekas Makanan dan Bekas Air
Dulang makanan dan tabung air hendaklah diatur berselangseli supaya anak-anak ayam dapat ke tempat makanan dan minuman dengan mudah. Sebuah dulang makanan berukuran 46 sm x 46 smcukup untuk 100 ekor anak ayam. Jika menggunakan palong makanan berikan ruang makan 2.5 sm seekor. Tabung air bermuatan 9 liter sesuai dan cukup untuk 100 ekoranak ayam umur 1 hingga 14 hari
6.1.4 Persediaan Menerima Anak Ayam.
Nyalakan api alat pemanas
Nyalakan api alat pemanas sekurang-kurangnya 12 jam sebelum ketibaan anak ayam untuk memanaskan kawasan perindukan dan mendapatkan suhu kawasan perindukan yang sesuai.
Isikan makanan dan air minuman
Isikan makanan permulaan ke dalam dulang makanan. Jangan isi terlalu penuh kerana anak-anak ayam tidak makan banyak ketika ini dan untuk mengelakkan pembaziran makanan kerana dikais atau dikotori najis. Isikan air bersih / vitamin atau ‘antistress’ ke dalam tabung air (penuh).
6.1.5 Ketibaan anak ayam.
·         Anak ayam dikira dan dimasukan segera ke tempat perindukan. Lakukan pelalian vaksin jika perlu.
·         Anak ayam diberi minum sebaik tiba. Ajar anak ayam minum jika menghadapi kesukaran mengenal bekas air minuman. Air minuman perlu diganti setiap hari dan sentiasa cukup.
·         Makanan digalakkan diberi kemudian.
·         Kerap melawat perindukan dan perhatikan taburan anakanak ayam untuk mempastikan bahawa suhu perindukan adalah sesuai dan anak-anak ayam minum serta makan.
·         Besarkan ruang perindukan selaras dengan pertumbuhan
·         saiz anak-anak ayam.
6.1.6 Pemantauan Suhu Perindukan.
  • Suhu perindukan yang sesuai adalah dalam lingkungan 200C hingga 300C dan dipantau sentiasa. Suhu yang sesuai dapat dilihat daripada perangai dan pertaburan anak-anak ayam dalam ruang perindukan.
  • Unsur haba dipasang 24 jam berterusan pada minggu pertama. Sekiranya keadaan terlalu panas, alat pemanas boleh dipadamkan atau kepanasan dikurangkan.
  • Minggu kedua hover hanya dinyalakan diwaktu malam sahaja
SUHU PERINDUKAN

6.1.7 Singkiran / Pelupusan Anak Ayam Mati dan Lemah.
·         Anak-anak ayam yang mati dilupuskan dengan segera secara sistematik.
·         Anak-anak ayam yang lemah dan tidak sempurna diasingsingkirkan kerana akan mengurangkan kecekapan kos pengeluaran.
6.1.8 Membuka kepungan.
Setelah cukup 2 minggu, kepungan perindukan dan penutup dinding boleh dibuka dan dibiarkan ayam bebas dalam reban. Perindukan satu reban Perindukan kepungan
6.2 PERINGKAT PEMBESARAN.
Peringkat pembesaran ini ayam berumur antara 4 minggu hingga dijual. Pengurusan makanan, minuman, kebersihan dan kesihatan yang betul dan baik akan menghasilkan pengeluaran yang maksimum.
6.3 PEMAKANAN.
Pemberian makanan yang sempurna mestilah dilakukan untuk menjamin pembesaran badan yang cepat dan penjimatan kos. Kos makanan adalah kira-kira 70 peratus daripada keseluruhan kos pengeluaran ayam daging. Dari itu penternak haruslah mengambil perhatian berat ke atas pengurusan makanan. Elakkan pembaziran makanan kerana ini akan menjejaskan keuntungan.
6.3.1 Jenis makanan
Makanan ayam yang diberi mengikut peringkat pertumbuhan untuk pembesaran yang baik. Tempoh dan jenis makanan akan mempengaruhi kecekapan kos pengeluaran.
Jenis Makanan Umur Ayam
·         Makanan permulaan 1 - 28 hari( jenis crumble )
·         Makanan penghabisan 29 hari hingga dipasarkan( jenis pellet )
6.3.2 Jenis, Ruang dan Kedudukan Bekas Makanan.
Pengurusan peralatan makanan
Pengurusan peralatan makanan disesuaikan dengan umur, saiz dan bilangan ayam yang dipelihara. Bekas dan ruang makanan perlulah mencukupi supaya semua ayam berpeluang untuk makan tanpa bersesak.Ruang makan yang tidak mencukupi akan menjejaskan peluang ayam yang kecil dan lemah dari mendapat makanan yang cukup,dan menyebabkan kecederaan dan pembesaran ayam tidak sekata.
Bekalan makanan
Pastikan makanan ayam diberi mengikut peringkat umur dan sentiasa ada .
Bekas makanan gantung
Sediakan satu bekas makanan ukuran rentas 40.6 sm untuk 30 ekor ayam. Makanan diisi 3/4 paras sahaja untuk mengelak pembaziran.
Palong makanan
Sediakan keluasan ruang makan 5.0 - 7.5 sm untuk setiap ekor ayam. Makanan diisi tidak melebihi ½ paras dan perlu diisi beberapa kali sehari untuk mempastikan makanan diberi mencukupi dan sentiasa ada.
6.3.3 Penyelenggaraan Bekas Makanan.
Paras ketinggian bekas makanan
·         Bekas makanan perlu disesuaikan ketinggiannya mengikut pembesaran ayam. Ketinggian yang sesuai adalah apabila ayam berdiri, hujung bekas makanan sama dengan paras belakang ayam.
·         Paras yang rendah akan menyebabkan ayam kais makanan dengan muncung / kaki dan menyebabkan pembaziran makanan.
·         Paras yang tinggi pula akan menjejaskan ayam yang kecil dari mendapat makanan. Elakan ayam berjalan jauh untuk mendapatkan makanan.
 
6.3.4 Mutu dan Simpanan Makanan.
Mutu makanan
Makanan diperolehi dari pembekal makanan yang terkenal dengan baik mutu makanannya. Makanan yang kurang kualiti dan rosak akan menjejaskan kesihatan ayam.
Simpanan makanan
Makanan disimpan secara teratur ditempat yang berventilasi baik dan bersih. Tempat yang bersuhu tinggi akan menyebabkan makanan cepat menjadi ‘rancid”, rosak dan kehilangan zat pemakanan manakala makanan akan mudah berkulat jika ditempat yang lembab.Setor makanan hendaklah tidak telus tikus(rat proof). Jika tidak dapat dielakan sediakan perangkap atau racun tikus kerana tikus boleh membawa penyakit.
 
6.4. Air Minuman.
Badan ayam mengandungi lebih kurang 70 peratus air. Air sangat penting dalam kehidupan ayam untuk proses-proses dalam badan dan untuk kawalan suhu. Memandangkan pentingnya air kepada ayam, pengawasan pemberian air perlu diberi perhatian terutama sekali di musim panas.
6.4.1 Pemberian Air Minuman.
·         Bekalan air minum bersih yang mencukupi dan sentiasa ada.
·         Pengambilan air bergantung kepada keadaan suhu alam keliling,kelembapan kandungan makanan serta pengambilan makanan dan pergerakan.
·         Lazimnya ayam minum 2 kali ganda jumlah berat makanan yang dimakan.
·         Semasa keadaan suhu panas ayam akan minum 2 kali ganda daripada keadaan suhu biasa.
·         Kadar kematian yang tinggi boleh berlaku kerana kekurangan air.
6.4.2 Ruang Minum dan Kedudukan Bekas Minuman.
Ruang minun
Ruang minum yang cukup perlu diberi kepada setiap ekor ayam supaya semua ayam berpeluang untuk minum tanpa bersesak.
Peringkat 1 hingga 10 -14 hari :
Satu tabung air bermuatan 9 liter adalah untuk 100 ekor anak ayam.
Peringkat membesar
Gunakan bekas minuman gantung automatik untuk memudahkan pengurusan dan tahan lama. Sekiranya menggunakan palong air, keluasan 2 sm diberikan bagi seekor.
 
6.4.3 Penyelenggaraan Bekas Minuman.
Ketinggian bekas minuman
·        Ketinggian dan kedudukan bekas minuman perlu diselaraskan dan diatur dengan baik mengikut pembesaran ayam. Ketinggian yang sesuai adalah paras bibir bekas minuman pada paras belakang ayam.
·         Paras air bekas minuman gantung automatik adalah ¼ daripada kedalaman bibir bekas minuman dan perlu diawasi selalu.
·         Bekas minuman diperiksa selalu untuk mempastikan sentiasa berfungsi baik. Bekas yang rosak menyebabkan tiada bekalan air, bocor atau air melimpah, dan najis basah.
6.4.4 Mutu Air Minuman.
Berikan ayam air yang bersih, bermutu dan tidak tercemar. Air minum hendaklah pada pH 6.5 - 8.0, warna, rasa, bau dan suhu yang dapat diterima oleh ayam. Air minuman hendaklah dirawat dengan klorin. Air minuman yang mengandungi kadar galian yang tinggi boleh menjejaskan kesihatan.
 
6.5 KESIHATAN.
Ayam yang sihat serta bermutu mempunyai ketahanan melawan penyakit yang baik. Adalah penting penternak memeriksa kesihatan ayam setiap hari supaya tindakan mengawal penyakit dapat diambil awal. Program kesihatan ternakan merangkumi semua aspek kebersihan ladang seperti pengurusan pembersihan reban dan peralatan, biosekuriti ladang dan pengawalan penyakit.
Bagaimanapun kadangkala kumpulan ayam masih diserang penyakit dan perlu dirawat. Sekiranya berlaku demikian, penternak dinasihatkan berhubung dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar atau pengamal veterinar swasta untuk mendapatkan ketentuan jenis penyakit dan perubatan yang diperlukan.
6.5.1 Pembersihan Reban.
Reban ayam pedaging perlu dibersihkan dengan sempurna setelah tamat pemeliharaan sesuatu kumpulan ayam. Ini adalah untuk menjamin reban bersih daripada kekotoran dan kuman penyakit.
Membuang Saraf dan Najis.
Sistem lantai sarap
Setelah semua ayam dijual, kerja pembersihan dimulakan dengan mengeluarkan sarap lama.
Sistem lantai tinggi
Najis yang terdapat di bawah reban perlu dibersihkan dahulu. Sisa ini dilupuskan atau dikeluarkan dari ladang dengan sempurna atau diproses sebagai baja. Reban disapu bersih untuk membuang saki baki najis, sawang dan lain-lain kotoran.
Mencuci Peralatan dalam Reban.
Bekas makanan dan minuman manual
Bekas makanan dan minuman dikeluarkan dari bangsal untuk dicuci. Gunakan bekas air yang berlainan untuk merendam bekas makanan dan minuman. Gunakan ubat pencuci semasa merendam dan dibilas dengan air bersih, disucihama, dikeringkan dan disimpan di tempat khas sehingga diperlukan.
Bekas minuman automatik
Bekas minuman automatik dicuci didalam reban bersama-sama dengan pencucian reban. Tapisan di dalam bekas minuman perlu dibuka dan dibersihkan.
Menyapu Bersih Reban.
Setelah najis, sarap dan peralatan dikeluarkan, seluruh reban termasuk bumbung dan atap perlu disapu bersih.
Semburan Racun Serangga dan Racun Kutu.
Setelah disapu bersih, reban disembur dengan racun serangga yang tidak memudaratkan manusia dan binatang ternakan. Sembur racun kutu jika ada masaalah kutu ayam. Keseluruhan reban termasuk kawasan bumbung, atap dan celah-celah kayu perlu disembur. Semburan mestilah rata dan basah mengikut bancuhan yang disyorkan oleh pengeluar racun. Gunakan langkah-langkah keselamatan apabila menyembur racun. Setelah itu biarkan bangsal satu hingga dua hari. Sapu dan buang serangga serangga yang mati di reban.
Mencuci reban
Reban dicuci dengan menggunakan air pam bertekanan tinggi untuk pembersihan reban lebih sempurna. Pembersihan secara manual menggunakan sabun yang disyorkan boleh juga dijalankan. Reban termasuk kawasan bumbung dicuci sehingga bersih. Setelah reban dicuci, dibilas dengan menggunakan air yang bersih dan dibiarkan kering.
Semburan Racun Pemusnah Kuman
Setelah kering, reban disembur dengan racun pembasmi kuman.Semburan hendaklah dilakukan dengan teratur dan sempurna.Semburkan kawasan dalam dan luar reban sehingga basah.Gunakan racun pembasmi kuman dengan bancuhan sebagaimana yang disyorkan oleh pengeluar racun sahaja.
Mengosongkan Reban
Setelah disembur dengan racun pembasmi kuman, reban perlulah dikosongkan selama 2 minggu.Tujuannya ialah untuk pengawalan penyakit yang lebih baik kerana tempoh ini menghalang pusingan hidup kebanyakan kuman penyebab penyakit. Sekiranya reban dibiarkan kosong lebih 2 minggu semburan racun pembasmi kuman kedua adalah disyorkan. Selepas reban bersih dan kering maka hendaklah dibuat persiapan untuk menerima kedatangan anak-anak ayam baru.
6.5.2 Kawalan Penyakit.
Ayam yang sihat serta bermutu mempunyai ketahanan melawan penyakit yang baik, dapat menggunakan makanan dengan cekap serta tumbesaran yang baik. Penyakit boleh menjejaskan kecekapan ladang dan kerugian kerana menyebabkan kematian ayam, terjejas pertumbuhan, meningkatkan kos rawatan dan kawalan, meningkatkan kadar asingsingkir , kehilangan kualiti dan kemungkinan kehilangan pasaran. Oleh itu adalah penting bagi penternak memeriksa kesihatan ayam setiap hari supaya tindakan mengawal jangkitan dan perebakan penyakit dapat diambil awal. Adalah dinasihatkan agar penternak menghubungi Pejabat Veterinar yang berhampiran atau pengamal veterinar swasta untuk mendapatkan nasihat berkenaan dengan program pelalian penyakit. Penyakit boleh dikawal melalui tiga cara iaitu biosekuriti, pelalian dan rawatan iaitu kaedah dalam amalan perladangan yang baik.
Biosekuriti Ladang
Program biosekuriti yang baik dapat membantu mengurangkan risiko kemasukan penyakit ke dalam ladang dan perebakannya.
Sumber bekalan anak ayam
Sumber bekalan anak ayam dari ladang baka atau ladang penetasan yang di ketahui status penyakitnya dan diiktiraf (SALT).
Pagar ladang
Kawasan ladang dipagar keseluruhannya untuk menghalang orang atau haiwan yang tidak berkenaan memasuki kawasan ladang. Unit pengeluaran dipagar untuk mengawal semua pergerakan dalam dan luar ladang.
Jarak bangunan
Bangunan dibina pada jarak yang bersesuaian daripada jalan terutama jalan yang kerap digunakan oleh kenderaan mengangkut ayam. Jarak antara bangunan reban lebih dari 15 meter dan lebih jauh jarak lebih rendah risiko perebakan jangkitan penyakit.Bangunan selain dari unit pengeluaran dibina berhampiran pintu masuk utama.
Kemudahan Cucihama
Kemudahan pencuci hama automatik disediakan di pintu masuk utama untuk cucihama sebarang kenderaan yang masuk ke kawasan ladang. Pencelup kaki disediakan di setiap pintu masuk ke unit pengeluaran.
Laluan ladang
Hanya satu laluan keluar masuk sahaja disediakan untuk mempastikan kawalan pergerakan keluar masuk ladang.
Larangan memelihara haiwan lain
Orang dan haiwan lain selain kakitangan ladang tidak digalakan memasuki kawasan ladang.Tiada ayam atau unggas lain boleh dipelihara bersama di dalam lading termasuk pekerja ladang.Anjing jika dipelihara untuk kegunaan ladang hendaklah dijaga dengan ketat dan tidak merayau ke kawasan ladang jiran.
 
Umur ternakan
Mengamalkan pemeliharaan sekali masuk sekali keluar untuk mengurangkan risiko penyakit. Jika ladang memelihara berbagai peringkat umur,pergerakan kakitangan, peralatan dan kenderaan hendaklah dari ayam muda kepada ayam tua.
Basmi Kuman
Membasmi kuman menggunakan bahan yang baik dengan kaedah yang betul membantu mengurangkan bilangan kuman di kawasan tercemar pada paras yang tidak membolehkan jangkitan berlaku.
Menukar penggunaan sesuatu jenis ubat basmi kuman selepas tempoh tertentu untuk mengelakan pembentukan kekebalan adalah digalakan.
Kemudahan lain
Mengelakkan meminjam peralatan atau kenderaan di antara reban atau ladang lain. Kakitangan digalakan memakai boot dan dicucihama sebelum dan selepas masuk reban. Raga yang digunakan untuk mengangkut ayam dibersih dan dicucihama selepas setiap kali digunakan.Reban yang memelihara ayam yang disyaki berpenyakit hendaklah dicucihama peralatan yang digunakan menggunakan ubat basmi kuman yang baik dan reban dikosongkan untuk tempoh yang lebih lama.
Pembuangan Ayam Mati
Ayam yang mati dimusnahkan segera dengan sempurna. Ayam mati disebabkan penyakit adalah satu punca penyebaran penyakit.Jika tidak dilupuskan dengan sempurna ia mungkin akan dimakan oleh kucing, anjing , haiwan-haiwan liar yang lain atau serangga.Tikus, kucing, anjing dan serangga lain yang memakan bangkai ayam ini boleh menyebabkan perebakkan penyakit di dalam ladang atau ke ladang lain. Cara memusnahkan ayam mati yang disyorkan ialah dengan membakar di dalam ‘incenerator’ untuk mengelakkan pencemaran udara.


 

No comments:

Post a Comment