KEAJAIBAN AKAL FIKIRAN
metro jumaat 17 april 09

satu unsur yang sangat
menonjol pada penciptaan manusia ialah akal fikiran yang menjadikan insan
makhluk istimewa berbanding yang lain sehingga layak menggalas amanah sebagai
khalifah di bumi.
Islam
memandang tinggi akal fikiran kerana ia sumber segala ilmu malah banyak disebut
dalam al-Quran.
"Jika
Kami turunkan al-Quran ini ke atas sebuah gunung, nescaya engkau lihat gunung
itu tunduk serta pecah belah kerana takut kepada Allah. Contoh perbandingan ini
Kami kemukakan kepada umat manusia, supaya mereka memikirkannya."
(a-Hasyr:21)
Keutamaan
akal fikiran ini ditegaskan Rasulullah s.a.w dalam dalam satu hadis daripada
Ibnu Hibban, maksudnya: "Berfikir
sesaat lebih baik daripada beribadat setahun."
Dalam
satu kisah, Abu Said al-Khudri menyampaikan sabda Rasulullah yang bermaksud:
"Berilah
hak matamu di bidang ibadat!"
Sahabat
bertanya: "Apakah hak mata di bidang ibadat itu wahai Rasulullah?" Jawab
Rasulullah: "Membaca al-Quran, memikirkan isinya dan mengambil pengajaran
keajaiban kandungannya."
Wahab
bin Munabih pula berkata: "Semakin tajam seseorang itu berfikir, semakin
berilmulah dia dan apabila dia berilmu, semakin banyaklah amalnya."
Al-Ghazali
berkata, akal itu mulia dan menjadikan manusia mulia. Melalui akal, manusia
mendapat ilmu
IBNU KHALDUN
Ibnu Khaldun bersetuju akal fikiran (quwwah natiqah) membezakan antara manusia dengan
makhluk lain.
Menurut
Aristotle, jiwa manusia adalah hakikat diri manusia dan potensi berfikir adalah
sebahagian darinya, sementara orang bijak pandai berkata 'berfikir itu pelita
hati.'
Hasan
al-Basri r.h berkata: "Sesungguhnya golongan yang berfikir mereka sentiasa
mengulangi apa yang mereka ingati, sehinggalah hati mereka dapat berbicara
dengan kata-kata hikmah."
Lukman
al-Hakim berkata: "Sesungguhnya dengan lamanya duduk, aku akan lebih memahami
untuk berfikir dan panjang berfikir, petunjuk jalan ke syurga."
Imam
al-Ghazali menyifatkan akal fikiran sebagai sumber, tempat terbit
dan asas ilmu. Ilmu pula apabila dinisbahkan kepada akal ibarat buah kepada
pokok, cahaya kepada matahari, pandangan kepada mata.
Beliau
memberikan empat kategori mengenai akal:
i.
Akal merujuk kepada suatu sifat yang membezakan manusia dari sekalian haiwan.
Akal dalam erti kata ini adalah sifat semula jadi manusia.
ii.
Akal merujuk kepada ilmu daruri, terhasil apabila seorang mencapai usia tamyiz.
Ilmu daruri ialah ilmu membolehkan dikenali perkara wajib, mustahil dan harus
pada akal. Contohnya, mustahil seorang manusia di dua tempat pada satu masa.
iii.
Akal merujuk kepada ilmu pengetahuan diperoleh melalui uji kaji dan pengalaman
hidup.
iv.
Akal merujuk kepada kesempurnaan sifat akal, apabila ia mengetahui akibat setiap
perkara dan mengekang syahwat dari menurut kelazatan sementara.
Apabila
keadaan ini terhasil pada diri seseorang, dia dipanggil 'manusia berakal' kerana
yang memandu tindakannya ialah kesedaran dan keinsafan terhadap perbuatannya,
bukan dorongan hawa nafsu.
Merujuk
kepada kategori ketiga, iaitu ilmu yang dipelajari dari pengalaman, perbezaan
antara manusia berpunca daripada kemampuan asli akal itu sendiri dan pengalaman
dilalui.
Bagi
kategori keempat, perbezaan manusia kerana berbeza kemampuan mengekang nafsu.
Manusia memiliki keupayaan berbeza dalam hal ini, bahkan seseorang mungkin
berupaya mengekang nafsu dalam perkara tertentu dan tidak dalam hal lain.
Faktor
yang boleh dikaitkan dengan akal fikiran dalam perbezaan ini ialah ilmu yang
menyedarkan seseorang mengenai kemudaratan, akibat hawa nafsu. Seorang yang
berilmu lebih mampu menjauhi maksiat berbanding si jahil kerana lebih tahu
kemudaratannya.
Akal
fikiran membolehkan manusia menilai baik dan buruk, mampu membezakan di antara
yang benar dan palsu, bersih dan kotor, untung atau rugi, malah memandu untuk
mengenal diri dan Penciptanya.
Penggunaan
daya fikir yang tinggi dan lebih serius membolehkan manusia mencapai ketamadunan
dan kemajuan dalam pelbagai lapangan.
Umat
Islam satu ketika mampu meraih kegemilangan apabila menggunakan kemampuan daya
fikir yang tinggi, sebagaimana ditonjolkan tokoh Muslim seperti Jabir bin
Haiyan, al-Kindi, al-Khwarizmi, al-Farabi dan banyak lagi.
Al-Kindi
(801-873) misalnya, cukup terkenal di Barat dengan nama Alkindus, seorang cerdik
pandai Arab dalam pelbagai bidang, terutama sains, astrologi, kosmologi, logik,
matematik, muzik, fizik, psikologi dan meteorologi.
Kisah
seorang Barat, Isaac Newton (1643-1927), iaitu seorang ahli fizik, matematik,
falsafah dan astronomi yang terkenal dengan penemuan formula graviti wajar juga
diambil pengajaran.
Sejak
lahir beliau tidak pernah melihat bapanya bekerja sebagai petani, kerana
beberapa bulan sebelum lahir bapanya meninggal. Kehidupan beliau sangat susah,
namun masih berpeluang mendapat ijazah sarjana muda pada usia 22 tahun.
Pada
suatu malam, beliau berjalan-jalan di sekitar kebun sambil berfikir dan
memerhatikan keadaan sekeliling. Tanpa sedar, fikirannya berakhir pada satu
persoalan; mengapa bulan bergerak mengelilingi bumi?
Selepas
letih berjalan dan tidak mendapat jawapan, beliau berehat di bawah pohon epal.
Tiba-tiba buah epal jatuh berdekatannya.
Kejadian
itu menimbulkan persoalan di dalam benaknya. Mengapa buah itu harus jatuh tepat
di bawahnya dan tidak ke sekitarnya atau ke atas?
Beliau
berfikir lagi hingga menemui satu kesimpulan, iaitu buah epal jatuh ke bawah
kerana adanya tarikan dari bumi dan daya seperti itu dinamakan daya graviti. Ia
bukan saja berlaku pada bumi, malah planet lain termasuk bulan, bintang dan
matahari mempunyai daya gravitinya.
Demikianlah
dengan kemampuan dan kehebatan akal fikiran. Bahkan, dengan fikiran yang sihat
dapat memupuk keimanan kepada Allah serta menolak perkara bersifat tahyul dan
khurafat.
No comments:
Post a Comment