Saturday, 7 July 2012

SAMSENG JADI JUTAWAN
copy paste dari  http://www.malaysiaharmoni.com/v2/index.php/pandangan/230



Nama lelaki itu Abdul Rahman bin Abdullah. Nama asalnya pula adalah Kanagarajan. Artikel ini sengaja ditulis kerana lelaki ini baru sahaja menjadi jutawan, dan gelaran jutawan itu diisytiharkan kepadanya dalam satu majlis baru-baru ini, sempena menyambut tahun baharu 2010.
Abdul Rahman ini semasa dalam agama asalnya, adalah seorang samseng. Kerjanya mengambil upah memukul orang. Jika ada orang mengupahnya menarik kereta, Kanagarajan tidak menolak. Yang penting, duit, kerana dia tidak berpelajaran.
Dahulu Kanagarajan seorang samseng di Sentul. Sejak usia remaja hinggalah 37 tahun, kerja Kanagarajan ialah memukul orang dan mencari duit hasil peras ugut serta melakukan kekerasan, hinggalah akhirnya, dua tahun lalu, dia dipenjarakan, dan kemudian keluar dalam keadaan papa kedana serta terpaksa tidur di tepi jalan.
Allah Maha Berkuasa, ketika sedang minum di sebuah warung, dia berkenalan dengan seorang lelaki Muslim bernama Amiruddin, dan menceritakan masalah yang sedang dihadapinya. Tentu saja Kanagarajan turut menceritakan juga latar belakang dirinya seorang samseng dan bekas banduan.
Kasihan dengan nasib Kanagarajan, Amiruddin memberikan sejumlah wang kepada lelaki itu untuk beliau memulakan perniagaan menjual makanan kesihatan. Amiruddin memberi perangsang, dengan wang itu Kanagarajan boleh menjadi jutawan, seperti dirinya. Tetapi dengan syarat, ia mesti dilakukan dengan bersungguh-sungguh.
Hasil dorongan Amiruddin, Kanagarajan kemudian memeluk Islam, berkahwin dengan seorang wanita Muslim, dan menjalankan perniagaan menjual kopi serta makanan kesihatan itu dengan bersungguh-sungguh. Tiada siapa menduga, dalam tempoh dua tahun, akhirnya Kanagarajan mendapat dua hadiah yang paling istimewa dalam hidupnya. Pertama, menjadi Islam. Kedua, mencapai kutipan jualan melebihi sejuta ringgit bagi melayakkannya menjadi jutawan.
Oleh kerana itu, penulis menulis artikel ini. Kanagarajan kini sudah menjadi Abdul Rahman. Dia seorang Muslim dan tahun baharu 2010 disambutnya sebagai seorang jutawan muda. Usianya baru 39 tahun.
Turut diraikan dalam majlis itu ialah mentornya, Amiruddin, yang asalnya adalah seorang pencuci pinggan di sebuah restoran, dan hanya berkelulusan darjah enam sahaja. Selain mereka, ada lagi enam jutawan lain, yang ada antara mereka asalnya dikejar hutang hingga terpaksa menjual kereta.
Tetapi pada majlis meraikan tahun baharu itu, jutawan-jutawan ini membuktikan bahawa benarlah firman Allah dalam surah ar-Ra’d, ayat 13 yang bermaksud
“…Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib suatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang mengubah apa apa yang pada diri mereka.”
Jutawan syarikat apa bukanlah soalnya. Bukanlah juga tulisan ini hendak mempromosikan syarikat itu dan ini, tetapi yang hendak diketengahkan ialah peri penting kita mengambil pengajaran bagaimana usaha yang gigih, disuluhi dengan iman dan iltizam, pasti akan membuahkan kejayaan. Buatlah apa bidang sekali pun, jika `azimat’ itu anda gunakan, pasti berjaya.
Yang penting juga, bagaimana kita melihat Islam itu mampu mengubah kehidupan Abdul Rahman dan mencapai impiannya.
Dengan tahap pendidikan yang rendah, hidup pula sebagai samseng, tentu Abdul Rahman tidak pernah terfikir suatu hari nanti dia akan menjadi jutawan. Abdul Rahman juga tidak pernah terfikir akan menjadi Islam. Tetapi benarlah apa yang difirmankan Allah, hanya manusia itu sahajalah yang berkeupayaan untuk mengubah nasib dirinya, di samping hidayah daripada Allah.
Maka, Hijrah 1431 dan tahun baharu 2010 adalah tahun yang amat bermakna bagi saudara baru ini, juga kepada penulis kerana telah menyaksikan kehebatan sebuah hidayah Allah serta kegigihan seorang manusia untuk mengubah nasib dirinya.
Sebenarnya, cerita kejayaan seseorang jutawan amat perlu kita ambil sebagai iktibar. Tun Daim Zainuddin misalnya, menjadi jutawan pada usia 34 tahun selepas dua kali perniagaannya lingkup. Pertama, perusahaan garamnya di Kuala Selangor `hanyut’ akibat banjir. Kedua, kilang plastik dan besi tuangnya di Melaka jatuh bankrap.
Tetapi Tun Daim bangun semula dan akhirnya menjadi jutawan selepas projek perumahannya di Taman Maluri, Cheras, Kuala Lumpur membuahkan hasil. Begitulah hebatnya impian dan azam serta iltizam untuk berhijrah.
Mary Kay, jutawan kosmetik terkenal dunia, asalnya adalah seorang ibu tunggal yang tidak berduit, yang terpaksa menyara tiga orang anak. Bagi menyambung hidup, Mary terpaksa menjual barang- barang keperluan rumah dari pintu ke pintu.
Tetapi beliau mempunyai keazaman yang tinggi untuk mengubah hidupnya. Hasilnya pada 1963, Mary menubuhkan syarikat kosmetiknya sendiri dan hari-hari berikutnya menjadi sejarah yang tidak perlu penulis catatkan di sini. Siapa tidak kenal Mary Kay?
Begitu juga halnya dengan Steven Jobs dan Steven Wozniak, dua orang anak muda California yang masing-masing berusia 21 dan 26 tahun. Pada 1976, mereka menjual sebuah van buruk dan sebuah kalkulator bagi menubuhkan syarikat Apple Computer Inc., dengan impian untuk menjadi jutawan komputer.
Ketika masyarakat ketika itu menganggap komputer suatu benda asing, bank enggan memberi pinjaman dan pengilang pula tidak melihat potensinya, kedua-dua anak muda selekeh ini terus memasang azam dan impian tanpa pernah mengalah.
Enam tahun selepas menubuhkan Apple, sebanyak 650,000 buah komputer berjaya mereka jual setahun. Dan mereka bukan setakat menjadi jutawan, tetapi billionaire!


Tidakkah kita berasa cemburu dengan kejayaan Abdul Rahman dan jutawan-jutawan lain yang telah diceritakan tadi? Penulis percaya, kebanyakan daripada pembaca artikel ini berkelulusan sekurang- kurangnya Diploma. Paling ramai, mungkin Ijazah Sarjana Muda. Mungkin juga ada antara pembaca artikel ini adalah pemegang Doktor Falsafah. Pasti tiada antara kita yang pernah menjadi samseng atau bekerja sebagai mencuci pinggan, bukan?

No comments:

Post a Comment